adely.sura

widget flash


Monday, January 18, 2010

Pengganti


Pengganti Arwah Mak dan Ayah

[16 Nov. 2004: Irfan di atas ribaan Aki Aji Razali dan Wan Aji Eshah]

1. Seusia umur 15 tahun, rakan-rakan sebaya masih dapat merasai kehangatan pelukan dan belaian kasih seorang ibu, namun bagi saya itulah ruang dan peluang terakhir mempunyai seorang wanita bernama ibu kerana arwah mak telah dijemput kembali oleh Allah swt buat selama-lamanya. Tiada pengganti sepertinya. Arwah mak meninggal dunia disebabkan penyakit kanser buah dada [breast cancer] yang dihidapi.

2. Arwah mak telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dirujuki oleh Hospital Kuala Lipis [yg pada masa itu tiada kepakaran] seingat saya sebulan dua sebelum kematiannya. Dua minggu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, doktor mengarahkan keluarga membawa pulang arwah ke kampung. Kata doktor, mak tiada peluang untuk sembuh. Seluruh badan mak sembab kerana doktor telah memasukkan air ke badannya. Telahan doktor hayat mak paling panjang pun lebih kurang dua minggu.

3. Kesempatan yang berbaki membolehkan kami sekeluarga menjaga dan merawat mak mana yang termampu. Kehidupan pada masa itu yang kekurangan ilmu dan maklumat berkaitan penyakit kanser buah dada menyebabkan kami merawat mak menggunakan kaedah tradisional selain memanjatkan doa kehadrat Illahi agar mak cepat sembuh dan dipanjangkan usia.

4. Dalam keadaan fizikal yang kritikal itu [sembab] mak hanya mampu berbaring. Untuk bergerak anak-anak mak selain saya seperti kakak [Zainun dan Hasmah] serta abang-abang [Ahmad Badrin, Jamaluddin, Md. Yusuf, Abd. Molok, Yunus, Kamarun Adba dan Kholid] silih berganti menjalankan tanggungjawab dengan penuh kasih sayang mengelap badan [memandi], menyuap makanan dan mengurut anggota mak yang senggal dan lenguh.

5. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah hebatnya ujian yang Allah berikan kepada mak. Dari dalam mata mak, dapat dilihat mak redha akan ujian Illahi. Nabi Muhammad s.a.w sebagai kekasih Allah lagi hebat diuji. Inikan pula kita insan biasa-biasa.

6. Saya pada ketika itu berada di Tingkatan Tiga [bakal menduduki SRP] dan abang, Ahmad Badrin [bakal menduduki SPM] harus terus pergi ke sekolah. Bangun seawal jam 6 pagi. Mandi dan bersiap ke sekolah. Perlu berjalan kaki meredah kegelapan pagi untuk memastikan tidak terlepas bas Ling Seong jam 7 pagi. Jarak antara rumah dengan jalan raya lebih kurang 1.5km. Perlu juga merentasi kawasan perkuburan. Saya bukanlah seorang yang berani. Harus mempunyai teman seperjalanan. Jika abang Ahmad Badrin bergerak awal, saya akan menunggu kawan-kawan lain yang rumahnya di hujung kampung seperti arwah Insp. Khairul Anuar Azhar, Suhaimi Mubin, Rahimi, Rahimudin atau Rozita.

7. Jika saya tak silap pada pagi hari Rabu tahun 1983, nama saya dipanggil oleh pihak pejabat sekolah SMPGAS. Saya bergegas. Di khabarkan berita mak sedang tenat. Dikehendaki segera pulang. Saya bersama abang [Badrin] menunggu bas untuk pulang ke rumah. Di dalam bas semasa pulang ke kampung, ada bersama beberapa orang sedara dan kenalan mak dari kampung bersebelahan. Mereka memandang kami dengan mata yang sayu dan hiba. Ada antaranya yang berbisik hingga kedengaran juga dicuping telinga kami. Mak sudah tiada. Khabar dari pejabat sekolah mengatakan mak tenat hanya untuk mengumpan supaya kami tidak menggelabah. Luluh jiwa dan jantung hati hanya Allah yang tahu. Tanpa sedari air mata bercucuran. Hati berbungkam. Saya tak ingat bila bas berhenti. Kaki terasa lambat melangkah untuk cepat sampai ke rumah. Orang-orang kampung mula ramai berkunjung dan berkumpul.

8. Saya menangis semahunya. Jenazah mak dimandi, dikafan dan disembahyangkan. Hari terakhir mak meninggalkan rumah buat selama-lamanya telah tiba. Jenazah mak diusung oleh abang-abang, saudara dan orang-orang kampung ke tanah perkuburan. Mak dimasukkan ke dalam liang lahad. Tanah dikambus. Diratakan. Dihamparkan tikar untuk imam [arwah Lebai Hj. Daud] membacakan talkin dan doa. Setelah selesai, seorang demi seorang meninggalkan mak sendirian di alam yang baru, alam barzakh.

“Ya Allah! Kau ampunkanlah dosa-dosa mak dan ayahku, sebagaimana jasa mereka
membesarkan aku. Ya Allah! Kau ringankanlah siksaan kubur mereka. Ya Allah! Kau lapangkanlah kubur mereka. Kau terangilah kubur mereka. Ya Allah! Kau bangkitkanlah mereka dari kubur bersama dengan orang beriman. Kau bangkitkan mereka di padang mahsyar bersama dengan orang beriman. Berikanlah mereka syafaat Nabi Muhammad saw. Dan Ya Allah! Kau tempatkanlah mereka di dalam Syurga ArrayanMu bersama orang-orang yang beriman, ya Allah. Amin. Amin. Ya Allah.”

9. Yang mati tetap mati. Yang hidup perlu meneruskan kehidupan. Redha Allah hendaklah dipastikan. Agar baki hidup tidak dalam kerugian. Sejak kematian mak, kesihatan ayah semakin menurun. Ayah sering berulang alik ke Hospital Kuala Lipis dan Hospital Jerantut. Di Jerantut ayah menumpang di rumah abang Abd Molok dan Kak Ton. Ayah disahkan mengidap kanser usus. Allahuakhbar. Seorang lagi ahli keluarga saya diserang kanser. Kepakaran doktor untuk mengubati penyakit kanser pada itu amatlah terhad. Dan jika ada, kos rawatannya amatlah mahal. Manakan kami mampu. Mungkin ayah pada masa itu hanya diberi ubat-ubatan pencegahan dan penahan sakit sahaja. Mungkin, itu sahaja yang dapat saya simpulkan.

10. Ayah meninggal dunia ketika saya berada di Tingkatan Empat [1984] semasa umat Islam bersiap sedia untuk menyambut satu [1] Ramadhan. Arwah ayah menghembuskan nafas terakhir di rumah abang Abd Molok di Jerantut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Mat Kilau, Jerantut.

11. Semasa hayat arwah ayah berpesan agar beliau dikebumikan di mana beliau meninggal. Beliau tidak mahu menyusahkan anak-anak dan mana-mana pihak untuk menguruskan jenazah beliau. Kalau tak silap saya ada satu hadis Nabi “ Seseorang anak Adam itu sekiranya meninggal dunia, hendaklah dikebumikan di mana dia meninggal. Dan itu adalah lebih afdal kepada simati”. Sebab itulah Rasulullah dimakamkan di kamar Aisyah r.a. Kerana nyawa baginda s.aw. dijemput oleh Jibril semasa baginda berada di kamar isterinya Aisyah. Jika saya tersilap, sila perbetulkan. Moga roh arwah ayah tenang berada bersama orang-orang yang solehin.

12. Tahun 1982, arwah atuk Hj. Ajam meninggal dunia. Diikuti 1983, arwah mak. Selang beberapa bulan arwah wan [Wan Matun] dan 1984, arwah ayah. Dalam tempoh 3 tahun, saya kehilangan 4 orang keluarga tersayang.

13. Selepas kematian mak dan ayah, saya banyak menumpang kasih dengan Mak dan Ayah Sedara [Awe @ Aki Aji dan Mak We @ Wan Aji], abang Koyan [Kholid], abang Hj. Jamaluddin dan Kak Non serta abang-abang dan kakak yang lain. Mereka banyak membantu dan memberi perhatian terutama persekolahan saya. Kejayaan dan pencapaian saya pada hari ini banyak didorong oleh mereka. Tiada kata yang terucap untuk membalas budi baik mereka. Moga Allah memberkati kehidupan mereka dunia akhirat. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kalian masih dan sentiasa DEKAT DI HATI.

1 comment:

Rose Othman said...

Semoga ketemu permata hati yg DEKAT DI HATI dan dapat memberi kebahagiaan dunia dan akhirat..