adely.sura

widget flash


Sunday, January 17, 2010

Kehilangan

1. Sebuah institusi keluarga terbina dimulai dengan adanya seorang bapa dan ibu yang dimeterai dengan ikatan perkahwinan [ijab qabul]. Saya merupakan anak kesepuluh [bongsu] dalam susur galur jurai keluarga besar. Jurang usia antara abang yang sulong dengan saya sebagai adik yang bongsu agak jauh. Anak abang yang sulong agak sebaya usianya dengan saya.
2. Usia ibu (mak) saya ketika melahirkan saya sudah hampir 45 tahun. Manakala ayah seingat saya hampir sama usia dengan mak. Dalam usia sebegitu pada tahun 60an dan 70an mungkin tidaklah terlalu tua[lewat] untuk melahirkan anak dibandingkan dengan wanita zaman milinimum ini.
3. Membesar dalam keluarga yang besar memang besar cabarannya. Ayah dan mak bekerja sebagai penoreh getah dan bersawah padi untuk menampung kehidupan. Menanam sayuran di keliling rumah, menternak ayam itik, mengail dan menjala ikan serta mencari sayur kampung seperti pucuk paku, pucuk rebung dan pelbagai ulaman untuk hidangan harian sudah menjadi kelaziman dan aktiviti keluarga.
4. Hidup dalam zaman 70an memang memeritkan bila terkenang. Apakan tidak. Nak makan payah. Biasanya apa saja buahan yang boleh dimakan pasti menjadi pengalas perut. Jajan? Uh..jauh sekali. Namun begitu, tidaklah menjadikan kami hidup kelaparan kerana Allah telah menjanjikan rezeki setiap anak Adam di muka bumi ini. Buah senduduk, buah rotan, biji kopi semuanya enak ketika itu. Lastik dan senapang kayu sentiasa tergalas di tengkuk. Kehebatan melastik menjadi taruhan rakan-rakan seusia dan sepermainan.
5. Istilah cuti sekolah dan diikuti oleh perancangan percutian sekeluarga tiada dalam kamus kehidupan pada masa itu. Masih dikenakan perintah berkurung [carefew] disebabkan ancaman pengganas komunis. Sebarang pergerakan masyarakat dari satu tempat ke satu tempat bermula jam 7 pagi hingga jam 7 malam. Selebihnya adalah dilarang. Sekiranya ada urusan tergempar atau kecemasan, perlu mendapat kebenaran [permit] polis dari balai yang terdekat. Biasanya sepanjang cuti persekolahan kami diisi dengan membantu[?] ayah dan mak di kebun getah dan sawah padi.
6. Bermain di paya [sawah padi] dan di anak sungai [alur] menjadi keseronokan yang melekakan. Menangkap anak ikan seperti keli, sepat, puyu dan haruan untuk dijadikan hidangan sesuatu yang sangat jarang dilepaskan jika ada kesempatan. Di mana ada lopak di situlah kami akan berkubang. Hinggakan jika nak bezakan antara kerbau dan kami..tiada jauh berbeza kerana lumpur paya membaluti seluruh tubuh. Hinggakan muka penuh dengan lumpur. Macam rupa orang Afrika yang disapu cat.
7. Segala peristiwa tersebut hanya tinggal kenangan untuk diceritakan kepada generasi yang akan datang. Di kampung tiada lagi mak ayah, tiada lagi [paya] sawah padi, tiada lagi keterlihatan anak2 mengalas lastik dan senapang kayu di leher. Semuanya telah hilang ditelan arus pembangunan. Itulah harga yang perlu dibayar untuk kemajuan [?]. Namun plot-plot cerita dan peristiwa itu tetap DEKAT DI HATI.

No comments: