1. Menunaikan haji dalam usia muda[?] menjadi impian ramai orang muslim Malaysia kini. Sekiranya kita mempunyai keinginan dan azam yang kuat..insyaAllah akan dibukakan jalan untuk dijemput sebagai tetamuNya. Yang penting dalam konteks di Malaysia, terlebih dahulu pergilah daftar haji dengan Tabung Haji sebagai langkah permulaan..semoga dipermudahkan.
2. Ada antara kawan-kawan bertanya. "Kenapa pergi awal di usia muda?. Dah fikir masak-masak ke nak pergi ni? Dah tak nak buat perkara-perkara nakal lagi ke?". Bagi saya mudah saja. Itu semua urusan Allah. Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Kita merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Saya bersyukur dijemput sebagai tetamu pada usia seawal 40 tahun. Rasanya dah banyak sangat dosa yang telah dilakukan sama ada sengaja atau jahil ilmu agama. Selamat tinggal jahiliah. Baki usia yang ada kami nak kumpul pahala sebanyak mungkin untuk bekalan hidup yang abadi. Amin.
3. Pengalaman berada di Tanah Suci Madinah dan Mekah memang tidak dapat terungkap dengan kata-kata. Hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang dapat menggambarkannya. Menjadi tetamu Allah memang sangat istemewa. Bermula dari persiapan, keberangkatan, ketibaan, semasa di sana dan pulang ke tanah air. Semuanya dilalui dengan pelbagai peristiwa yang layanannya tersangat-sangat istemewa.
4. Menjadi tradisi orang kita, apabila nak pegi haji diadakan kenduri kesyukuran. Kami suami isteri tidak terkecuali mengadakan tradisi tersebut. Dua kenduri di dua tempat berbeza. Di Bandar Baru Bangi dan di kampung. Bukan bertujuan untuk mengutip derma tapi untuk mencari peluang mendapatkan doa dari keluarga, sahabat rakan dan jiran tetangga. Pelbagai pesanan dan tips disampaikan oleh mereka yang pernah ke sana. Ada yang serius dan ada yang mudah-mudah. Debaran dan keresahan apa yang akan diuji oleh Allah swt di sana menjadikan saya tersangat takut. Doa dan munajat tidak putus-putus dipohon agar Allah swt tidak menguji saya suami isteri yang diluar kemampuan kami.
5. Di Madinah dan di Mekah kami selalu menerima kata pujian dari jemaah Malaysia. Beruntung kamu dapat pergi dalam usia muda. Banyak perkara yang boleh dan dapat kamu lakukan. Keluhan mereka merupakan doa untuk kami. Kesibukan aktiviti ibadah menyebabkan kita akan lupa kepada kampung halaman, keluarga dan kerja yang ditinggalkan. Sentiasa mengejar waktu untuk mendapatkan yang terbaik.
6. Untuk seseorang itu menunaikan haji, berdasarkan kefahaman saya yang jahil ilmu ini memerlukan tiga [3] perkara. 1. Kefahaman ilmu agama. 2. Kesihatan fizikal dan mental dan 3. Sentiasa memotivasikan diri. [InsyaAllah saya akan ulas dalam ruangan akan datang].
7. Mengerjakan haji menerusi muasassah banyak kelebihannya. Antaranya mendapat rakan sebilik yang jauh lebih ramai berbanding rakan-rakan haji menerusi pakej. Bagi saya lebih ramai kawan lagi banyak kenalan yang kita dapat. Di Madinah saya ditempatkan 4 orang sebilik bersama Hj. Abdullah, Hj. Ibrahim dan Hj. ?(lupa). Dan di Mekah lagi bertambah menjadi 8 orang sebilik bersama Hj. Abdullah (DBKL), Hj.? (Puchong), Hj. Eidrus (Yop Perak), Hj. Ahmad Tajuddin (Shah Alam), Hj. Hatta (Cheras), Hj. Nazri (Petronas) dan Ust. Hj. Halimanshah (PJ). Banyak koleksi cerita bila berkumpul di dalam bilik. Watak Hj. Nazri yang suka menyakat Hj. Ahmad Tajuddin (kita panggil tok penghulu) selalu menceriakan. Kekadang Ust. Hj. Halimanshah (GB SK Agama USJ) mengimbangi kejahilan kami dengan pesanan-pesanan bermakna.
8. Penghargaan yang seharusnya tidak dilupakan ialah terhadap isteriku [Rusmawati]. Kerana kesabarannya dan sentiasa mendoakan perubahan hati sang suami. Antara pemberian yang bermakna ialah buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman tulisan Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Membaca log kembara ini amat mengesankan sekali. Kejantanan lelaki bisa goyah. Kepada bakal-bakal haji/hajah..jangan lupa beli dan baca. Banyak panduan bermanafaat. Prof. Dr. Muhd Kamil..kita mungkin berbeza dalam banyak perkara tetapi kita juga mungkin ada kesamaan dalam banyak perkara. Wallahuaklam.
9. Terima kasih wahai isteriku, anak-anakku, ayah dan ibu mertua, kakak abang, ipar duai, keluarga dekat dan jauh, rakan sabahat dan tetangga yang mendoakan kami. Sesungguhnya walaupun kalian tiada di depan mata kami tetapi kalian DEKAT DI HATI.


